Anda sedang membaca Pasangan Indonesia disebat di khalayak ramai hanya kerana berciuman di Tiktok mereka

Pasangan Indonesia disebat di khalayak ramai hanya kerana berciuman di Tiktok mereka

  • Tempoh membaca:2 minit

Sepasang pasangan muda telah diberi hukuman sebatan 21 kali oleh mahkamah di Bandar Aceh, Indonesia. Sekurang-kurangnya 100 orang ramai telah menyaksikan hukuman tersebut. Pasangan tersebut dihukum kerana dilihat berciuman di sebuah video Tiktok mereka. Ia menjadi kesalahan di bawah undang-undang syariah versi Bandar Aceh, satu-satunya wilayah di Indonesia yang berbuat demikian.

Insiden ini mendapat reaksi negatif dan kritikan daripada seluruh dunia kerana jelas mencabuli hak asasi dan maruah manusia serta tidak menghormati hak kebebasan individu.

Negara Indonesia sebenarnya mengamalkan undang-undang sekular iaitu undang-undang yang sama kepada semua rakyat Indonesia tanpa kira agama. Namun, Aceh dapat melaksanakan undang-undang agama versi tersendiri kerana sebahagian daripada perjanjian damai untuk menamatkan perang antara kumpulan pemisah Aceh dengan kerajaan Indonesia pada tahun 2006.

Pasangan tersebut pada awalnya dijatuhkan hukuman 25 sebatan tetapi diturunkan ke 21 selepas empat bulan berada dalam penjara. Telefon mereka juga dirampas. Persoalannya, mengapakah mereka dilayan seperti penjenayah sedangkan perbuatan mereka langsung tidak mengancam keselamatan sesiapa?

Amnesty International Indonesia, sebuah organisasi hak asasi manusia, mengatakan hukuman sebat di khalayak ramai di Aceh merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah manusia. Perbuatan di Tiktok tersebut mungkin kurang sesuai di sesetengah penonton di media sosial seperti kanak-kanak namun mengizinkan hukuman sebat dan penjara sama seperti hukuman kepada penjenayah adalah keterlaluan dan melampau, kata pengarah eksekutif Amnesty Internasional Indonesia tersebut.

Campur tangan institusi agama dalam kehidupan peribadi sering menjadi persoalan masyarakat. Sejauh mana kewajaran untuk mana-mana institusi terutamanya institusi yang dibiayai oleh wang rakyat untuk menghukum orang yang dikatakan tidak mematuhi undang-undang agama tertentu? Sebab utamanya ialah kesalahan moral yang dikatakan itu adalah urusan peribadi. Cara berpakaian atau tidak bersembahyang sekalipun sebagai contohnya langsung tidak memudaratkan atau memberi bahaya terhadap sesiapa. Kegagalan seseorang untuk mematuhi kewajipan agama adalah urusan peribadi. Jika berdosa, itu adalah perkara yang perlu dijawab olehnya terhadap Tuhan, bukan pihak kerajaan atau mana-mana yang lain. Lebih penting, kelakuan moral itu adalah subjektif, orang yang berbeza boleh mempunyai pandangan atau tafsiran yang berbeza.

Sehubungan dengan itu, Hak individu mesti dihormati dan bukan hak mana-mana pihak untuk campur tangan dalam kehidupan persendirian apatah lagi menangkap dan dihukum serta dipenjarakan atas perbuatan yang bukan jenayah.

Kredit gambar: Muhammad Iqbal/Zuma Press Wire/Shutterstock