Anda sedang membaca Pengacara podcast Malaysia ditahan polis hanya kerana bincang tentang sekularisme

Pengacara podcast Malaysia ditahan polis hanya kerana bincang tentang sekularisme

  • Tempoh membaca:2 minit

Semalam, kita dikejutkan tentang sebuah berita yang dilaporkan di pelbagai media mengenai dua individu ditahan polis kerana dikatakan membincangkan isu yang menyentuh 3R dalam sebuah podcast mereka.

Menurut artikel berita dilaporkan dalam New Straight Time, polis mengesahkan tangkapan ke atas dua individu tersebut kerana dikatakan membincangkan topik sekularisme dan liberalisme.

Ini jelas telah mencabul hak kebebasan bersuara dalam masyarakat. Persoalannya, Siapakah yang mengeluarkan arahan tangkapan ini? Tiada sesiapa menjadi mangsa pun kesan daripada perbincangan mereka. Apakah keperluan polis untuk menggunakan kuasa untuk menahan pengacara podcast yang sekadar mengeluarkan pandangan mereka?

Mengenai istilah sekularisme and liberalisme pula, sejauh manakah masyarakat benar-benar mengetahui apa sebenarnya makna kedua-dua istilah tersebut. Ramai yang tidak ada pemahaman tentang istilah tersebut dan sesetengah pihak cuba menamatkan segala pencerahan dan perbincangan tentang sains politik yang wujud dalam masyarakat di dunia ini.

Sekularisme ialah satu doktrin politik dan falsafah yang memperjuangkan pemisahan antara agama daripada urusan sivil dan institusi kerajaan. Ia menegaskan bahawa dasar awam, undang-undang, dan pendidikan hendaklah beroperasi secara bebas daripada pengaruh agama atau kawalan pimpinan agama. Ia mewajibkan negeri kekal berkecuali secara saksama dalam urusan agama dan kepercayaan, bagi menjamin kebebasan individu untuk menganut atau tidak menganut sebarang agama tanpa gangguan undang-undang atau tekanan daripada kerajaan.

Liberalisme pula ialah satu falsafah politik dan moral yang berteraskan kebebasan individu, persetujuan pihak yang diperintah serta kesaksamaan di sisi undang-undang. Ia mementingkan perlindungan dan perluasan kebebasan individu sebagai tujuan utama politik. Ia memperjuangkan had ke atas kuasa negeri melalui perlembagaan, kedaulatan undang-undang, perlindungan hak asasi manusia (seperti kebebasan bersuara, berhimpun, dan hak milik harta), serta penolakan terhadap kuasa mutlak atau sewenang-wenangnya.

Persoalannya, Apakah kesalahan bagi mana-mana individu dan masyarakat untuk membincangkan dan berkongsi pendapat mereka mengenai falsafah politik? Tindakan polis tersebut sebenarnya mengancam hak asasi manusia yang paling utama iaitu hak untuk bersuara dan hak untuk menyampaikan pandangan. Bayangkan apakah yang akan berlaku apabila segala perbezaan pandangan dilihat sebagai ancaman, dan segala perbezaan dilayan sama seperti kesalahan jenayah. Yang patut diambil tindakan ialah mereka yang mengeluarkan kata-kata kebencian seperti ungkapan berbaur perkauman, bukannya individu yang sekadar membincangkan falsafah politik.

Masyarakat menuntut agar tindakan polis dilaksanakan dengan telus dan memastikan kebebasan bersuara tidak diancam melalui pihak berkuasa atau kerajaan.


Kredit gambar: New Straight Time