Sebuah laporan kajian mengenai autonomi tubuh wanita dan kesaksamaan gender di Malaysia telah dikeluarkan baru-baru ini. Autonomi tubuh badan merujuk kepada hak untuk membuat keputusan terhadap tubuh badan sendiri secara bebas, tanpa tekanan dan berdasarkan maklumat yang tepat. Kajian yang dijalankan oleh SIS Forum ini terbahagi kepada lima dimensi utama dan melibatkan peserta kajian daripada latar belakang yang pelbagai. Antara penemuan utama hasil kajian tersebut adalah seperti di bawah.
- Setinggi 34% wanita berdepan dengan akses kemudahan kesihatan yang terhad dipengaruhi oleh pendapatan, pendidikan, usia dan geografi.
- Memanfaatkan kontrasepsi untuk merancang atau mencegah kehamilan masih rendah dan peranan penggunaan lebih tinggi dipikul oleh wanita iaitu 58% berbanding 11% yang melaporkan pasangan lelaki mengambil peranan tersebut.
- Hanya 1 daripada 3 wanita (34%) tahu untuk mengakses maklumat mengenai pengguguran di mana pengguguran terapeutik adalah sah di Malaysia dalam keadaan tertentu terutamanya melibatkan risiko kesihatan
- Wanita dalam kalangan pelajar, suri rumah atau penjaga, dan berpendapatan rendah jauh lebih tinggi melaporkan bahawa ibu bapa atau ahli keluarga memainkan peranan dalam keputusan perkahwinan
- Hanya 44% wanita melaporkan dapat menolak seks pasangan yang tidak diingini atas faktor seperti bimbang akan dimarahi pasangan, tanggungjawab perkahwinan dan kepercayaan agama.
- Hanya 36% wanita yang mengalami keganasan atau gangguan seksual melaporkan kepada pihak berkuasa atas faktor seperti bimbang akan tidak dipercayai, persepsi bahawa insiden tidak cukup serius, dan berasa malu atau stigma masyarakat.
- Hanya 54% wanita melaporkan mereka boleh berpakaian seperti yang diingini tanpa berasa takut akan kritikan atau sekatan dan ekspektasi agama adalah antara punca utama.
- Satu daripada tiga wanita (31%) mengalami kritikan, hukuman, atau sekatan semata-mata kerana cara berpakaian mereka.
- Sistem pendidikan formal secara umumnya gagal untuk menyampaikan pendidikan seksualiti secara komprehensif dengan tiada penekanan terhadap konsep keizinan, hubungan, dan hak.
Berdasarkan penemuan kajian ini, ia memberi gambaran bahawa ketidaksamarataan gender antara wanita dan lelaki masih terus wujud dalam masyarakat. Norma gender yang melihat tubuh wanita sebagai objek keluarga, undang-undang komuniti dan budaya institusi seringkali mengabaikan atau menjadi punca isu ketidaksamarataan ini menyebabkan pilihan wanita menjadi terhad baik dalam kehidupan peribadi mahupun kehidupan awam.
Antara cadangan yang disyorkan melalui laporan kajian ini termasuklah:
- Melibatkan pemimpin agama, media, pencipta kandungan, dan organisasi sivil untuk mencabar stigma dan memupuk penyertaan wanita serta menegakkan hak wanita untuk membuat keputusan terhadap tubuh dan pergaulan mereka.
- Melaksanakan pendidikan seksualiti komprehensif yang selaras daripada sekolah rendah dengan latihan guru yang secukupnya dan kerjasama daripada badan sivil.
- Menyokong anak muda sebagai ejen perubahan dalam mengetuai kempen autonomi tubuh dan pendidikan seksualiti serta melabur dalam kepimpinan wanita muda daripada golongan terpinggir.
- Memperkasa gadis dan wanita melalui pendidikan, kebebasan ekonomi, dan penglibatan dalam politik termasuklah mengekang perkahwinan bawah umur dan perwakilan wanita dalam proses membuat keputusan.
- Melibatkan lelaki sebagai rakan kongsi dalam program transformasi gender
- Menghentikan kitaran keganasan gender melalui program, saluran membuat laporan, undang-undang khusus, dan sokongan kepada mangsa.
- Meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada golongan yang tercicir
- Mentransformasikan institusi untuk mengangkat autonomi tubuh wanita dengan menguatkuasa protokol keizinan dan latihan
- Mengurangkan jurang antara undang-undang dengan amalan sebenar melalui literasi undang-undang dan kerangka penilaian yang berkesan serta memberi latihan kesedaran gender kepada pihak berkuasa.
- Membina pengumpulan data yang lebih baik dan memastikan akauntabiliti mengenai autonomi tubuh wanita.
Kesimpulannya, autonomi tubuh wanita dan kesamarataan gender adalah sangat penting dana sebuah masyarakat yang inklusif kepada semua. Suara wanita perlu ada di setiap proses membuat keputusan dan melalui tindakan pemerkasaan seperti yang disyorkan, hak dan kebebasan wanita akan dapat terus ditingkatkan dan dipertahankan. Tidak ada orang lain selain daripada wanita sendiri yang lebih memahami dan perlu mengetuai misi ini.
Kredit gambar: AI
