Anda sedang membaca Kebebasan beragama terpelihara di Selangor

Kebebasan beragama terpelihara di Selangor

  • Tempoh membaca:1 minit

Kebebasan beragama merupakan antara hak asasi manusia yang bukan sahaja dijamin oleh Perlembagaan Negara tetapi juga diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa. Setiap manusia bebas memilih dan mengamalkan agama yang dipercayainya tanpa sekatan ataupun tekanan daripada mana-mana pihak.

Beberapa minggu yang lalu, timbulnya kontroversi tentang garis panduan baru yang mengandungi klausa yang tidak adil dan tidak rasional terhadap tempat ibadat bukan Islam di Selangor. Antara contoh klausa tersebut ialah mengenakan had maksimum ketinggian struktur tempat ibadat, larangan ke atas tempat ibadat bukan Islam di zon komersial/industri, dan had ambang 5000 penduduk sebelum tapak tempat ibadat bukan Islam boleh diperuntukkan.

Garis panduan seperti ini jelas menunjukkan terdapat pihak yang cuba menyekat kebebasan beragama di negeri Selangor. Garis panduan tersebut mendapat reaksi negatif daripada pelbagai lapisan masyarakat baik yang Islam dan bukan Islam. Sebab utamanya ialah ia menafikan hak masyarakat untuk mengamalkan agama yang dianutinya secara bebas dan selamat.

Ekoran daripada kritikan dan suara bantahan orang ramai, akhirnya garis panduan tersebut diubahsuai semula dan perkara-perkara yang menjadi kontroversi itu sudah pun dikeluarkan.

Peristiwa ini menunjukkan kepentingan bersuara dalam menegakkan keadilan dan memelihara hak kebebasan beragama dalam masyarakat kita. Keharmonian masyarakat hanya dapat terjamin apabila kesaksamaan hak dihormati.

Kredit gambar: FMT