Masyarakat Malaysia sekali lagi berdepan dengan ahli politik yang bukan sahaja tidak sensitif dengan agama lain, malah mengeluarkan ucapan berunsur seksual dan menghina di khalayak ramai. Dalam kes ini, beliau ialah ketua bahagian UMNO Sepang, noorazli, melalui perbahasan beliau di Perhimpunan Agong parti baru-baru ini.
Menurut laporan media, beliau membuat jenaka seksual yang membabitkan paderi dan biarawati pada masa yang sama merujuk kepada ayat dalam kitab Bible yang sebenarnya tidak wujud. Kata-kata beliau bukan sekadar memesongkan tetapi jelas ada cubaan menghina dan merendah-rendahkan kitab suci dan institusi agama Kristian katolik.
Lantaran daripada itu, pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin dari parti UMNO sendiri mengkritik tindakan beliau dan mendesak supaya memohon maaf. Menurut pihak Bukit Aman, lebih daripada 80 laporan polis telah diterima di seluruh negara berhubung ucapan ketua bahagian UMNO Sepang tersebut. Setakat artikel ini ditulis, masih belum ada sebarang tindakan undang-undang dilaporkan di media berhubung kes ini.
Peristiwa ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita bahawa tiada sesiapa boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata yang menghina agama lain. Setiap agama adalah suci dan perlu dihormati oleh semua. Kebebasan beragama juga merupakan antara hak asasi manusia. Setiap manusia harus bebas memilih, menukar, dan menganuti agama yang dipercayainya pada bila-bila masa tanpa sebarang tekanan.
Kredit gambar: FMT
