Anda sedang membaca Pelajar dijanjikan ganjaran material dengan menjadi ‘saudara baru’

Pelajar dijanjikan ganjaran material dengan menjadi ‘saudara baru’

  • Tempoh membaca:2 minit

Universiti awam merupakan institusi awam yang sepatutnya ruang yang selamat dan terbuka untuk semua pelajar menimba ilmu dan pusat percambahan idea, tanpa kira latar belakang.

Baru-baru ini tertular poster ‘pendaftaran saudara baru’ yang menjanjikan ganjaran material sekiranya menjadi saudara baru (mualaf). Ia menimbulkan persoalan tentang etika dan dasar pusat pengajian awam di negara ini.

Universiti tersebut telah menafikan kelulusan terhadap poster dan program yang berkaitan. Namun, ia masih menimbulkan persoalan tentang etika menjalani dakwah. Sekiranya ingin membantu pelajar, bantuan haruslah berdasarkan keperluan dan bukan semata-mata berdasarkan kemasukan ke satu-satu agama.

Agama seseorang sepatutnya tidak menjadi isu malah kebebasan beragama dipelihara oleh perlembagaan negara. Sungguhpun demikian, kita juga sedar hakikatnya di Malaysia, prosedur penukaran agama ke Islam adalah amat mudah tetapi penukaran dari agama Islam ke agama lain hampir mustahil. Lihat saja kes-kes mahkamah yang mengambil masa bertahun-tahun namun masih gagal untuk menukar status agama mereka daripada Islam ke bukan Islam. Mengapakah status agama seseorang harus ditentukan oleh mahkamah? Bukankah setiap individu mempunyai hak untuk memilih agama yang dipercayainya? Itulah namanya kebebasan agama yang termaktub dalam perlembagaan.

Oleh sebab itu, dakwah sepatutnya dijalankan melalui keikhlasan, bukan ganjaran material. Bayangkan pelajar yang mempunyai isu kewangan memilih untuk menukar agamanya kerana bantuan yang dijanjikan itu. Apabila dia ingin keluar, dia akan berdepan dengan sekatan undang-undang yang akan membebankannya bertahun-tahun akan datang, yang dia mungkin tidak tahu dan sedar ketika masuk ke agama tersebut.

Yang lebih menyedihkan, terdapat pihak tertentu menjadikan isu ini sebagai modal politik atau modal tarik sokongan dalam kalangan influncer. Mereka menggambarkan seolah-olah kritikan terhadap etika menjalani program di institusi awam ini sebagai serangan terhadap agama. Kita perlu sedar, kritikan terhadap prosedur dan dasar pentadbiran bukan serangan terhadap mana-mana agama. Namun, taktik sentiman ketakutan itulah yang sering digunakan oleh kelompok ini untuk menjadikan semua persoalan serta melabelkan kritikan sebagai ‘anti-Islam’ atau ‘serangan ke atas Islam’. Tiada siapa yang menyerang Islam.

Kebebasan agama adalah satu hak asasi manusia, yang juga tertera dalam deklarasi hak asasi manusia sejagat, dan Malaysia juga merupakan antara negara yang menandatangani deklarasi tersebut.