Setiap manusia tanpa kira latar belakang berhak mendapat perlindungan yang adil dan dijamin hak asasi mereka namun seringkali kes-kes yang tidak sepatutnya berlaku masih terjadi dalam masyarakat kita.
Suhakam melalui laporan tahunan 2024 yang dikeluarkan menggariskan beberapa isu pencabulan hak asasi manusia di penjara dan pusat tahanan imigresen termasuk gangguan seksual terhadap seorang banduan wanita oleh seorang pegawai lelaki, FMT melaporkan.
Kajian telah dijalankan di Penjara Kajang yang melibatkan lebih daripada 30 saksi daripada pegawai penjara dan polis. Ada bukti yang menunjukkan seorang wanita telah diganggu oleh pegawai lelaki. Lebih-lebih lagi, siasatan dalaman yang telah dijalankan sebelum itu amat lemah dan tidak telus.
Malahan, dakwaan pegawai penjara menggunakan bahasa yang kesat dan melayan banduan wanita dengan cara menjatuhkan maruah mereka juga dapat disahkan. Suhakam menzahirkan kebimbangan terhadap prosedur kehadiran pegawai lelaki di penjara wanita.
Di pusat tahanan pula, ia mendapati tahanan lelaki diarahkan berbogel dalam kumpulan sewaktu pemeriksaan manakala tahanan wanita diperiksa di tandas terbuka yang boleh dilihat oleh orang yang lalu termasuk lelaki.
Lantaran daripada laporan tersebut, Suhakam mengesyorkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk menyemak semula prosedur terutamanya perkara-perkara yang digariskan serta memastikan hak asasi manusia dipelihara termasuk banduan dan mereka yang berada di pusat tahanan tanpa sebarang alasan.
Kredit gambar: FMT
