Anda sedang membaca Wanita dan gadis paling terkesan akibat buli siber terhadap OKU

Wanita dan gadis paling terkesan akibat buli siber terhadap OKU

  • Tempoh membaca:2 minit

Majlis Hak Asasi Manusia PBB menyeru negara-negara untuk bertindak lebih tegas bagi mencegah buli siber dan menangani isu ketidakadilan dalam akses kepada teknologi sokongan yang merupakan hak asasi golongan orang kurang upaya, terutamanya wanita dan gadis. Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk, menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa gagal melindungi prinsip asas Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, iaitu memelihara kesaksamaan semua manusia. Beliau berkata golongan OKU di seluruh dunia sering didiskriminasi, dipinggirkan, dan lebih parah lagi bagi wanita dan gadis OKU yang menjadi sasaran, serta isu seperti ini tidak mendapat perhatian yang serius.

Menurut Heba Hagrass, Laporan Khas Hak OKU 2024 menunjukkan bahawa tahap kemajuan hak OKU semakin merosot sebanyak 14%, membantutkan sasaran matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). Beliau menegaskan wanita dan gadis OKU menghadapi diskriminasi berganda — atas jantina dan ketidakupayaan mereka. Penyertaan wanita masih lebih rendah dalam bidang pendidikan dan pekerjaan, serta berisiko tinggi mengalami keganasan seperti penderaan rumah tangga dan eksploitasi seksual.

Aktivis hak OKU, Nikki Lilly, juga berkongsi pengalamannya dibuli di media sosial sejak kecil kerana keadaan wajahnya. Walaupun media sosial membawakan maanfaat komunikasi, ia juga menjadi suatu tempat buli siber berleluasa. Beliau menyeru agar platform media sosial melibatkan OKU dalam pembangunan teknologi dan menambahbaik proses aduan agar dapat mencegah kandungan berbahaya.

Masalah teknologi pengecaman wajah juga diketengahkan kerana sering gagal mengenali wajah OKU, menghalang mereka mengakses aplikasi penting seperti perbankan. Tambahan pula, teknologi sokongan sering direka untuk lelaki, menyebabkan wanita OKU sukar menggunakannya. Hanya 1 daripada 10 OKU mendapat akses teknologi sokongan yang mencukupi. Majlis Hak Asasi menyeru semua pihak untuk terus bertindak, melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam membina dunia yang inklusif dan saksama untuk komuniti orang kurang upaya.


Sumber: UN News