Kerajaan Iran terus meningkatkan usaha untuk menyekat hak orang awam termasuk kanak-kanak kecil sebagai sebahagian daripada usaha terancang untuk menghalang bantahan, kata pasukan penyiasat yang diberi mandat oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada hari Jumaat yang lalu.
Dalam laporan terkini yang dikeluarkan, Misi Pencari Fakta Antarabangsa Bebas mengenai Iran melaporkan bahawa pelanggaran hak asasi manusia yang serius oleh pihak berkuasa Iran masih berterusan, susulan daripada protes besar-besaran selepas kematian Mahsa Amini, 22 tahun, dalam tahanan polis. pada September 2022 tidak lama selepas ditahan oleh polis atas alasan tidak mematuhi peraturan pemakaian hijab yang betul.
“Dalam usaha menindas protes seluruh negara pada tahun 2022, pihak berkuasa Iran telah melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang amat serius. “Kami mendengar banyak kisah penyeksaan fizikal dan psikologi yang teruk oleh pihak berkuasa serta pelbagai pelanggaran serius terhadap perbicaraan dan proses undang-undang yang melibatkan kanak-kanak, termasuk yang berusia seawal tujuh tahun.” “Pembela hak asasi wanita dan aktivis pula terus berdepan dengan hukuman jenayah, termasuk denda, hukuman penjara panjang, dan dalam beberapa kes hukuman mati atas penyertaan dalam aktiviti aman memperjuangkan hak asasi manusia,” tegas Misi Bebas itu.
“Pengawasan dalam talian menjadi antara alat penting yang digunakan oleh kerajaan Iran untuk melakukan penindasan. Akaun Instagram, sebagai contoh, telah ditutup dan kad SIM dirampas, terutamanya milik pembela hak asasi manusia, termasuk wanita,” jelas Shaheen Sardar Ali dari Misi Bebas itu. Penggunaan aplikasi mudah alih “Nazer”, “yang merupakan aplikasi khas diwujudkan oleh kerajaan, Iran, orang awam biasa juga boleh membuat aduan terhadap seseorang yang dilihat tidak memakai hijab wajib. Jadi, teknologi ini digunakan untuk pengawasan secara meluas dan sangat menceroboh hak privasi.”
Menurut Misi Pencari Fakta lagi, 10 lelaki telah dihukum mati berkaitan protes 2022 dan sekurang-kurangnya 11 lelaki dan 3 wanita masih berisiko dihukum mati, dalam keadaan wujudnya kebimbangan serius terhadap pematuhan hak untuk perbicaraan yang adil, termasuk pengakuan hasil daripada penyeksaan, dan campur tangan proses undang-undang.”
Laporan Misi ini akan dibentangkan kepada Negara-negara Anggota di Majlis Hak Asasi Manusia pada 18 Mac ini.
Misi Pencari Fakta Bebas ini ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia pada November 2022, dengan mandat untuk “menyiasat secara menyeluruh dan bebas terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang didakwa berlaku” di Iran berkaitan dengan protes yang bermula pada September tahun tersebut, terutamanya berkenaan wanita dan kanak-kanak. Misi ini ditugaskan oleh Majlis untuk mengumpul dan menganalisis bukti pelanggaran tersebut dan memelihara segala bukti tersebut untuk tujuan kerjasama dalam sebarang prosiding undang-undang akan datang.
Sumber: UN News