Tindakan yang Segera Penting untuk Menjamin Hak kita semua terhadap sebuah Alam Sekitar yang Sihat, kata pakar.
Kerosakan lautan mengancam komuniti dan menjejaskan hak asasi manusia di seluruh dunia, termasuk hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat, dan lestari, menurut seorang pakar bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Astrid Puentes Riaño, melalui laporan khas PBB mengenai hak asasi manusia kepada alam sekitar yang sihat, menegaskan bahawa perlindungan ekosistem marin adalah sebahagian daripada tanggungjawab semua negara dalam melindungi hak asasi manusia.
Dalam laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, beliau memberi amaran bahawa kemerosotan keadaan lautan memberi ancaman kepada semua termasuk manusia, meningkatkan ketidaksamarataan, dan memberi kesan lebih serius kepada golongan terpinggir.
Menurut beliau, hubungan rapat antara manusia dan ekosistem laut perlu difahami dengan lebih mendalam, termasuk kesan terhadap sistem makanan, ekosistem yang sihat, iklim yang selamat, dan peranan pembela laut (ocean defenders). “Lautan merupakan bioma terbesar di dunia, meliputi 70% permukaan bumi, dan satu pertiga daripada populasi manusia (2.4 bilion orang) tinggal dalam jarak 100 km dari persisiran pantai,” jelas beliau.
Walaupun terdapat lebih 600 perjanjian antarabangsa berkaitan laut, ekosistem marin terus terancam akibat perubahan iklim, penangkapan ikan berlebihan, eksploitasi sumber asli, pencemaran, dan perlombongan laut dalam. Tambahan pula, kelemahan tadbir urus, kekurangan penguatkuasaan undang-undang, serta keganasan terhadap pembela laut memburukkan keadaan. Antara cadangan utama dalam laporan termasuklah memperkukuh perlindungan undang-undang bagi biodiversiti marin dan komuniti pesisir, menguatkuasakan undang-undang lebih ketat ke atas penangkapan ikan berlebihan, pencemaran, dan industri eksploitasi sumber alam, mengiktiraf peranan pembela laut dan pengetahuan Orang Asli dalam tadbir urus marin, serta menyokong negara membangun dalam usaha pemuliharaan laut.
Beliau menegaskan, tanpa tindakan segera, biodiversiti laut akan musnah, menjejaskan kehidupan dan hak berjuta-juta manusia yang bergantung kepada lautan termasuk kita semua pada masa akan datang.
Sumber: OHCHR