Sebuah tuntutan mahkamah persekutuan telah difailkan terhadap Jabatan Pendidikan Arkansas kerana didakwa melanggar undang-undang persekutuan dengan gagal menyediakan tinjauan dalam talian yang boleh diakses oleh pelajar pekak dan buta di negeri itu. Tinjauan tersebut adalah berkaitan dengan masa depan sekolah khas untuk pelajar OKU.
Plaintif dalam kes ini juga memohon perintah injunksi awal untuk menghentikan pembinaan kampus baharu sekolah tersebut, menuntut supaya menerbitkan semula tinjauan dengan ciri-ciri kebolehcapaian untuk semua, serta melibatkan plaintif dalam mesyuarat bersama pihak berkepentingan dalam isu penstrukturan semula sekolah.
Menurut aduan yang difailkan, tinjauan dalam talian yang disiarkan di Facebook ADE pada Disember 2023 bertujuan untuk mengumpulkan maklum balas daripada pihak berkepentingan yang mempunyai hubungan dengan sekolah tersebut. Walau bagaimanapun, kegagalan memastikan kebolehcapaian tinjauan telah menghalang banyak responden khususnya golongan pekak dan buta daripada memberikan maklum balas mereka, menyebabkan hasil tinjauan tidak lengkap dan tidak mewakili keperluan sebenar komuniti tersebut.
Tuntutan itu menyatakan bahawa ketiadaan terjemahan Bahasa Isyarat Amerika (ASL) dan deskripsi audio dalam tinjauan tersebut melanggar Akta Orang Kurang Upaya Amerika (ADA) dan Akta Pemulihan 1973. Ia telah menafikan hak plaintif untuk menyertai proses membuat keputusan berkepentingan awam. Plaintif berpendapat bahawa tindakan defendan telah “menyekat suara keseluruhan komuniti” dalam isu yang memberi kesan langsung terhadap pendidikan masa depan mereka.
Tuntutan itu meminta mahkamah mengarahkan ADE untuk menerbitkan semula tinjauan yang boleh diakses oleh semua, serta menghalang pihak berkuasa daripada menggunakan hasil tinjauan asal dalam membuat dasar atau keputusan pentadbiran berkaitan sekolah tersebut. Ia juga mencadangkan agar sebarang keputusan berdasarkan tinjauan asal dikaji semula setelah tinjauan yang lebih inklusif dilaksanakan.
Peguam Laux menegaskan bahawa kerajaan negeri sepatutnya memastikan komunikasi yang adil kepada semua rakyatnya. Namun, pengecualian komuniti pekak dan buta daripada tinjauan ADE ini dianggap lebih serius kerana isu yang ditinjau berkaitan langsung dengan kumpulan tersebut. Beliau juga mendakwa bahawa tindakan ini mungkin disengajakan untuk mengetepikan suara komuniti tersebut dalam keputusan penting ini.
Sumber: Arkansasadvocate