Muzium Nasional Tentera Udara Amerika Syarikat kini memperluaskan kemudahannya bagi memastikan semua pengunjung dapat menikmati sejarah penerbangan dan warisan Tentera Udara A.S. Ciri-ciri baharu termasuklah papan tanda Braille kepada OKU penglihatan, penerangan jurubahasa isyarat untuk OKU pendengaran, dan lawatan sentuhan khas.
Dengan kerjasama Program Latihan Jurubahasa Kolej Komuniti Sinclair, pihak muzium akan menawarkan lawatan bersama Jurubahasa Isyarat Amerika (ASL) pada 22 Mac 2025 dan 26 April 2025. Inisiatif ini membolehkan golongan sasaran mengakses dan mengetahui lebih banyak maklumat tentang sejarah dalam galeri muzium tersebut.
Selain lawatan secara fizikal, muzium juga menambah tafsiran bahasa isyarat ke dalam video dalam koleksi Read Across America yang dapat dotonton secara maya. Video-video ini boleh diakses oleh kelas yang mendaftar di laman web muzium tersebut, membolehkan pelajar menikmati kisah bertemakan penerbangan dalam suasana yang lebih inklusif.
Jennifer Hess, Pakar Muzium yang mengetuai inisiatif ini, menyatakan bahawa “Dengan memperluaskan program ASL secara fizikal dan dalam talian, kami menjadikan sejarah Tentera Udara dan pendidikan STEM lebih mudah diakses oleh lebih ramai orang. Kerjasama dengan Kolej Komuniti Sinclair sangat membantu dalam mencapai matlamat ini.”
Untuk menjadikan muzium lebih inklusif, pihak muzium kini juga telah memasang lebih daripada 80 paparan Braille dan taktil 3D, dengan rancangan untuk meningkatkannya kepada 91 pada masa akan datang. Paparan ini mengandungi maklumat terperinci tentang sejarah dan spesifikasi teknikal pesawat, membolehkan pengunjung cacat penglihatan menikmati pengalaman muzium secara lebih bebas.
Bob Pinizzotto, sukarelawan muzium yang mengetuai projek ini, berkata “Kami bekerjasama dengan para pakar dan pendidik untuk memastikan paparan tersebut dapat menyediakan pengalaman yang bermakna kepada para pengunjung. Ia adalah satu ciri tambahan yang bernilai bagi mereka yang ingin mengenali sejarah penerbangan secara lebih mendalam.”
Inisiatif ini direalisasikan melalui kerjasama dengan Ohio State School for the Blind, Montgomery County Education Service Center, dan American Printing House for the Blind. Papan tanda ini memenuhi piawaian kebolehcapaian undang-undang, Americans with Disabilities Act (ADA) dan berkualiti tinggi untuk kegunaan muzium dalam jangka masa lama.
Tambahan pula, model 3D yang dihasilkan menggunakan teknik stereolithography membolehkan pengunjung cacat penglihatan merasai bentuk pesawat dengan lebih jelas. Xenia Public Library SPARKS Center Technology Group membantu dalam proses mengimbas dan mencetak model ini dengan ketahanan tinggi untuk kegunaan jangka panjang.
Muzium ini juga menawarkan Lawatan Sentuhan yang memberi peluang kepada pengunjung cacat penglihatan untuk meneroka pameran melalui sentuhan. Lawatan ini membolehkan mereka meneliti koleksi muzium dengan cara yang lebih mendalam.
Jason Riley, seorang peserta lawatan, berkata, “Dapat menyentuh dan merasai pameran ini adalah pengalaman luar biasa. Ia membolehkan saya memahami sejarah penerbangan dengan cara yang berbeza.”
Dengan menyediakan kemudahan ini, Muzium Nasional Tentera Udara A.S. terus memperkukuh misinya untuk berkongsi warisan inovasi dan penerbangan dengan semua pengunjung. Maklumat lanjut mengenai inisiatif kebolehcapaian dan lawatan boleh didapati di laman rasmi muzium.
Terletak di Pangkalan Tentera Udara Wright-Patterson berhampiran Dayton, Ohio, muzium ini adalah muzium penerbangan tentera terbesar di dunia. Dengan lebih 350 pesawat dan peluru berpandu, serta ribuan artifak di kawasan pameran tertutup seluas 19 ekar, ia menarik ribuan pengunjung setiap tahun.
Sumber: US Air Force National Museum