Pada tahun 2024, Amerika Latin dan Caribbean menghadapi kesan cuaca ekstrem dan perubahan iklim yang serius, menurut laporan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO). Rantau ini mengalami taufan paling kuat yang pernah direkodkan, kemarau melampau, kebakaran hutan yang dahsyat, serta banjir yang mengorbankan nyawa, menyebabkan kemusnahan besar-besaran dari segi ekonomi dan alam sekitar.
Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo, menyatakan bahawa cuaca ekstrem memberi kesan yang saling berkait di seluruh rantau ini, dari Andes ke Amazon serta dari bandar ke kawasan pantai. Suhu yang semakin meningkat memburukkan bencana kebakaran hutan, hujan luar biasa yang melanda menyebabkan banjir besar, dan tahun 2024 mencatatkan taufan Kategori 5 paling awal yang pernah direkodkan.
Laporan ini mengesahkan bahawa tahun 2024 merupakan tahun paling panas atau kedua paling panas yang pernah direkodkan, berdasarkan data yang digunakan. Kenaikan suhu menyebabkan hilangnya Ais Glasier Humboldt di Venezuela, menjadikannya negara kedua di dunia selepas Slovenia yang kehilangan kesemua glasier dalam zaman ini.
Keadaan El Niño pula mempengaruhi corak hujan di rantau ini. Kawasan Amazonia dan Pantanal di Brazil mengalami kemarau teruk dengan kadar hujan 30–40% lebih rendah daripada biasa. Kekurangan hujan ini meningkatkan risiko kebakaran hutan, mengeringkan tumbuhan, dan meningkatkan tahap kebakaran di beberapa negara.
Kebakaran hutan yang didorong oleh gelombang haba dan kemarau mencatatkan rekod baharu di Chile, Mexico, Belize, dan Brazil. Kebakaran di Chile sahaja mengakibatkan lebih daripada 130 kematian, menjadikannya bencana terburuk negara itu sejak gempa bumi tahun 2010.
Sementara itu, hujan lebat yang luar biasa di negeri Rio Grande do Sul, Brazil, menyebabkan bencana iklim paling buruk dalam sejarah negara tersebut. Banjir mengakibatkan kerugian berbilion dolar dalam sektor pertanian dan sekurang-kurangnya 180 kematian. Walaupun sistem amaran awal dan pemindahan membantu dapat mengurangkan kesan negatif secara keseluruhannya, WMO menekankan perlunya kesedaran yang lebih baik tentang risiko bencana dalam kalangan pihak berkuasa dan masyarakat umum.
Di samping membincangkan kemusnahan dan impak negatif cuaca ekstrem, WMO berkongsi beberapa aspek yang boleh memberi harapan. Sistem amaran awal dan ramalan cuaca yang disediakan melalui Perkhidmatan Meteorologi dan Hidrologi Kebangsaan (NMHSs) terbukti berkesan dalam menyelamatkan nyawa dan meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Tenaga boleh diperbaharui juga merupakan aspek yang penting. Laporan ini menekankan bahawa hampir 69% tenaga di rantau ini berasal dari sumber boleh diperbaharui, dengan kapasiti tenaga solar dan angin meningkat sebanyak 30% berbanding tahun 2023. Selain itu, WMO dan rakan kongsi sedang membantu dalam mengintegrasikan ramalan angin berasaskan kecerdasan buatan serta inovasi lain untuk menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Melalui sistem amaran awal, peralihan kepada tenaga lestari, dan kerjasama antarabangsa cukup penting dalam membina ketahanan terhadap cabaran perubahan iklim yang melanda seluruh dunia.