Anda sedang membaca Diskriminasi yang OKU hadapi dalam pengangkutan awam adalah tidak berperikemanusiaan

Diskriminasi yang OKU hadapi dalam pengangkutan awam adalah tidak berperikemanusiaan

  • Tempoh membaca:3 minit

Golongan kurang upaya berkongsi pengalaman “layanan tidak berperikemanusiaan” dalam pengangkutan awam kepada media, BBC, sementara sekumpulan Ahli Parlimen menyifatkan isu ini sebagai “aib nasional”.

Laporan daripada jawatankuasa khas pengangkutan Parlimen UK mendapati kegagalan sistematik dalam semua jenis pengangkutan awam. Ia menyatakan bahawa tanggungjawab untuk menegakkan hak akses diletakkan terlalu banyak pada individu kurang upaya sendiri.

Seorang pengguna kerusi roda berkongsi bahawa beliau mengalami diskriminasi sekitar 15 hingga 20 kali sebulan, termasuk pemandu bas yang enggan menggunakan tanjakan akses. Kerajaan mengakui bahawa lebih banyak usaha diperlukan untuk memastikan semua orang boleh melakukan perjalanan dengan mudah dan bermaruah.

Menteri Pengangkutan Tempatan, Simon Lightwood, mengakui bahawa kebolehcapaian dalam pengangkutan sering dianggap sebagai perkara sampingan. Laporan itu juga menunjukkan hampir 70% orang kurang upaya dan mereka yang menemani mereka menghadapi halangan dalam perjalanan hampir sepanjang masa.

Seorang pengguna kerusi roda, Charley Jonstone-Brent, mendedahkan bahawa beliau mengalami jangkitan pundi kencing selepas tandas OKU khas dalam kereta api tidak berfungsi. Apabila beliau meminta bantuan, pengawal tren hanya mencadangkan agar beliau menggunakan tandas lain sekiranya boleh berjalan. Charley menyifatkan layanan itu sebagai “tidak berperikemanusiaan” dan menyatakan bahawa pengalaman ini memberi tekanan emosi sehingga beliau terpaksa membatalkan temu janji lalu mengelakkan keluar bersama pasangannya.

Seorang pengguna OKU penglihatan, memiliki anjing pemandu (guide dog) yang berperanan membantunya dalam perjalanan, pula berkongsi bahawa beliau pernah membuat 88 aduan terhadap pemandu teksi yang enggan membawanya kerana anjing pemandunya, dan 41 pemandu akhirnya didakwa atas kesalahan tersebut. Beliau menyatakan bahawa berhadapan dengan diskriminasi sebegini adalah sangat meletihkan dan menyakitkan hati serta emosi kerana sekadar ingin menjalani kehidupan harian seperti orang lain.

Pengerusi jawatankuasa, Ruth Cadbury MP, menegaskan bahawa situasi ini adalah “aib nasional” dan beliau kecewa kerana rakyat kurang upaya tidak dapat menjalani kehidupan seharian dengan bebas. Ahli Parlimen kini menggesa kerajaan meneliti sistem pengangkutan dan mempertimbangkan perubahan dalam undang-undang untuk memastikan hak akses lebih terjamin. Laporan itu menekankan keperluan perubahan budaya yang mendesak supaya kebolehcapaian bukanlah lagi satu pilihan, tetapi hak asasi manusia yang tidak boleh diabaikan.

Kes Baroness Tanni Grey-Thompson, pemenang 11 pingat emas Paralimpik, turut disebut dalam laporan ini. Beliau pernah terpaksa “merangkak keluar” dari kereta api di London kerana kekurangan bantuan. Beliau menyatakan bahawa sepanjang hayatnya, beliau masih tidak dapat menaiki kereta api tanpa kebenaran atau bantuan individu bukan kurang upaya.

Organisasi Transport for All menyifatkan laporan ini sebagai bukti jelas bahawa komuniti kurang upaya masih tidak mempunyai akses setara dalam semua bentuk pengangkutan. Ketua eksekutifnya, Caroline Stickland, mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini.

Laporan ini mengemukakan 29 kesimpulan dan cadangan, termasuk keperluan untuk kerajaan membangunkan strategi pengangkutan inklusif baharu dalam tempoh 12 bulan dan menyelaras penguatkuasaan peraturan dan undang-undang yang kini terlalu rumit.


Sumber: BBC