Anda sedang membaca ‘Apa Seterusnya’? Gerakan Pimpinan Wanita Bimbang Akan Masa Depan

‘Apa Seterusnya’? Gerakan Pimpinan Wanita Bimbang Akan Masa Depan

  • Tempoh membaca:3 minit

Aktivis hak wanita dari seluruh dunia berkumpul di Ibu Pejabat PBB menghadiri mesyuarat terbesar dunia mengenai kesaksamaan gender, Commission on the Status of Women (CSW). Mereka menyuarakan kebimbangan terhadap penentangan yang semakin meningkat terhadap perjuangan feminisme dan pemotongan dana yang mendadak oleh negara penderma utama, akan mengancam program untuk memperbaiki kehidupan wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia.

Sima Bahous, Ketua UN Women, sebuah agensi PBB bagi kesaksamaan gender, menyatakan bahawa prejudis terhadap wanita semakin meningkat. Pada masa yang sama, Setiausaha Agung PBB, António Guterres, juga memberi amaran bahawa “tentangan hebat” terhadap usaha memperjuangkan hak wanita boleh mengundurkan kemajuan yang telah dicapai selama ini.

Grace Forrest, pengasas Walk Free, sebuah organisasi antarabangsa anti-perhambaan moden, menegaskan bahawa masih terdapat wanita dan gadis terus terdedah kepada perkahwinan paksa, buruh paksa, hutang paksa dan pemerdagangan manusia. Katanya lagi, kini terdapat peningkatan pemimpin negara yang secara terbuka memperlekehkan wanita, ditambah pula dengan media sosial yang mempamerkan pandangan serong terhadap wanita secara berleluasa. Beliau juga bimbang dengan keadaan pengurangan dana menyebabkan organisasi barisan hadapan yang dikendalikan oleh bekas mangsa perhambaan, terpaksa berhutang untuk meneruskan operasi.

Moufeeda Haidar, dari Restless Development, sebuah NGO belia, berkata di rantau MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara), penentangan terhadap feminisme sering digunakan untuk mengekalkan patriarki, subah sistem yang mengizinkan segala aspek kehidupan wanita didominasi oleh kaum lelaki. Katanya, pemotongan dana telah lama berlaku, termasuk bagi program belia dan iklim. Kini, mereka bimbang bagaimana untuk terus menyokong rangkaian organisasi wanita dan feminis yang telah dibina selama ini.

Linda Sestock, Presiden Canadian Federation of University Women, pula bimbang dengan fenomena di AS — termasuk larangan ke atas istilah seperti “diversiti” dan “keadilan jantina” — akan merebak ke Kanada. Beliau menekankan betapa pentingnya memastikan wanita terus mendapat pendidikan dan peluang dalam bidang teknologi dan sains, kerana bidang ini kini lebih memihak kepada lelaki.

Lantaran itu, para aktivis wanita gusar dunia mungkin melangkah ke belakang dalam perjuangan hak wanita jika cabaran ini tidak ditangani segera. Menyedari situasi ini, semua pihak harus memainkan peranan untuk terus menyokong segala inisiatif bagi memastikan hak kaum wanita dan gadis terbela dan dapat menikmati peluang yang sama untuk menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat secara produktif.

Sumber: UN News